Biografi Lan_"Bye"

Awal pembabitan

Sewaktu bersekolah menengah di Saint John's Institution, Bukit Nanas, Kuala Lumpur, sebelum Lan meminati lagu rock, Lan terlebih dahulu telah didedahkan dengan era New-Wave dan antara artis antarabangsa genre tersebut yang diminatinya ialah Duran Duran, Nik Kershaw, Frankie Goes To Hollywood dan Depeche Mode. Bagaimanapun, segalanya berubah apabila rakan-rakan sekolahnya mula mendengar lagu-lagu rock dari kumpulan rock tanahair antaranya ialah Search, Lefthanded dan dari siri Battle Of The Bands serta War Of The Bands dan juga kumpulan rock antarabangsa antaranya ialah Scorpions, Bon Jovi, Europe dan Whitesnake. Lan telah mengambil kelas tuisyen untuk Sijil Rendah Pelajaran beliau di Institut Ming, Jalan Tuanku Abdul Rahman. Di situlah Lan telah bertemu dengan Lan "Bear". Lan "Bear" juga amat meminati muzik rock dan yang lebih berat lagi iaitu heavy metal. Lan "Bear" telah memperkenalkan kepada Lan kumpulan antarabangsa ternama genre tersebut seperti Iron Maiden, Metallica, Megadeth, Slayer dan Anthrax.

Lan kemudiannya telah mencuba-cuba berlatih bermain drum bersama Lan "Bear" yang lebih kepada permainan gitar. Tidak lama kemudian, Lan "Bear" telah memanggil rakan-rakan sekolahnya untuk berlatih lagu-lagu heavy metal dengan Lan. Lan juga telah berlatih dengan rakan-rakan sekolah beliau untuk lagu-lagu rock. Setelah 2 tahun berlatih bersama-sama di studio-studio latihan yang berbeza, Lan dan Lan "Bear" telah berlatih di studio Babylon yang dimiliki oleh Hassan dan Hussin dari Kumpulan Babylon. Dari situlah, Kumpulan Babylon telah memberi sedikit tunjuk ajar kepada mereka dari segi permainan dan lagu. Lan juga pernah menjadi pemain drum untuk kumpulan rock di sekolahnya bernama Pressure dimana pemain gitar tersebut yang bernama Achid kemudiannya menyertai kumpulan pop-rock terkenal Crayon. Mereka kemudiannya telah bertukar ke studio Amerah dimana Mon gitaris kumpulan rock F.R.U. pula memberi tunjuk ajar. Akhirnya, mereka telah bertukar ke studio Hellions di mana beliau telah bertemu Jac, Mie, Nizam dan Bart dari kumpulan heavy metal F.T.G. dan kumpulan heavy metal Black Skull. Nizam telah memberi tunjuk-ajar kepada Lan teknik bermain dengan betul termasuklah teknik bermain Blast beat.

ABC... DEad

Lan dan Lan "Bear" kemudiannya telah bertemu dengan Wan, K-Roll dan Kocix di studio Hellions tersebut dimana mereka menubuhkan band genre hardcore ABC... DEad. ABC... DEad telah berjaya mendapat gig pertama mereka di Metallica Lounge, Kompleks Pertama pada tahun 1990. Antara artis yang pernah bermain di situ ialah F.T.G., Punisher, Rator dan Brain Dead (kumpulan). Bagaimanapun, setelah Lan melihat kehebatan permainan dram Shahrin, pemain dram Brain Dead (kumpulan), Lan telah bertekad di hati untuk mengubah muzik ABC... DEad daripada band genre hardcore kepada grindcore. Bagaimanapun, Kocix, Wan meninggalkan ABC... DEad. Mereka kemudiannya berjumpa dengan Fathul di sebuah gig di Paradise Lounge, Kompleks Kota Raya. Atas cadangan unik Fathul, mereka kemudiannya menukarkan nama ABC... DEad kepada Infectious Maggots. Mereka kemudiannya selalu berlatih dan menjadikan Pasar Seni (Central Market) sebagai tempat pertemuan mereka.

Infectious Maggots

Infectious Maggots kemudiannya telah merakam sebuah demo yang bertajuk Life Among The Ruins di studio Amerah dengan bantuan Mon F.R.U. Demo tersebut telah mendapat sambutan yang sungguh menggalakkan. Mereka juga telah menukar konsep mereka dari hardcore kepada grindcore yang lebih agresif. Bagaimanapun, K-Roll terpaksa meninggalkan Infectious Maggots dan telah diganti oleh As. Mereka juga telah menambah P.E. untuk posisi gitar kedua. Setelah beberapa gig, mereka telah mendapat tawaran rakaman dari Sonic Asylum Records menerusi pertolongan Joe Kidd dari band Carburator Dung. Lan telah bermain drum untuk proses rakaman tersebut yang telah dijalankan di studio FGM di Sentul. Bagaimanapun, sewaktu rakaman, As telah menarik diri untuk menyertai Silent Death dan tugas rakaman untuk bass diambil-alih oleh Lan Bear buat sementara waktu. Album mereka yang bertajuk Deep Within Our Grief Factory Milk Runs Red telah berjaya diterbitkan dan terjual sebanyak 15,000 unit tetapi tiada lagi terdapat di pasaran.

Kemudian, untuk siri gig Infectious Maggots, tempat pemain bass telah diisi oleh Nox dari Chronic Mass. Dari situ, mereka adalah kumpulan grindcore dari Kuala Lumpur yang mempunyai ramai peminat. Setiap kali mereka bermain gig, tempat mereka bermain tersebut akan sentiasa penuh sesak malah mengalami kerosakan harta-benda akibat peminat melakukan stage-dive atau mosh-pit.

Sil Khannaz

Dalam masa yang sama, Jaie Jokkhannaz telah menunjukkan minat terhadap permainan dram agresif Lan dan telah menawarkannya khidmat session untuk kumpulan heavy metal Sil Khannaz. Lan telah bermain drum untuk proses rakaman tersebut yang telah dijalankan di studio King's di Petaling Jaya. CD Khanzab, Joe Slaughter dan Tom Decibel adalah ahli kumpulan sewaktu itu. Album Sil Khannaz yang pertama bertajuk Conception Of Madness telah mendapat sambutan yang sungguh menggalakkan dan terjual sebanyak 20,000 unit dan masih terjual.

Pengunduran dari Infectious Maggots

Di dalam Infectious Maggots pula, Nox telah menarik diri dan telah digantikan oleh Jijoe. Tidak lama kemudian Jijoe telah menarik diri dan telah digantikan oleh Reza. Kemudian, P.E. telah menarik diri dan telah digantikan oleh Rizal, saudara kembar kepada Reza. Mereka kemudiannya bermain dalam beberapa siri gig dan telah mendapat kontrak rakaman dari Pony Canyon Entertainment. Bagaimanapun, atas sebab-sebab tidak puas hati dengan hak milik Infectious Maggots, Fathul kemudiannya menarik diri dan telah digantikan oleh Jan. Kemudiannya, akibat dari salah komunikasi, Lan menarik diri dan permainan drum sewaktu rakaman album kedua Infectious Maggots yang bertajuk Unknown dikendalikan oleh Wira dari kumpulan Necrotic Chaos.

Lan "Bye" bermain drum dalam album Sil Khannaz bertajuk Gerbang KayanganLan "Bye" bermain drum dalam album Sil Khannaz bertajuk Bara Pawaka

Atas sokongan moral Jaie Jokkhannaz dan CD Khanzab dari Sil Khannaz, Lan telah berkeputusan untuk menumpukan sepenuh masa bermain dengan mereka. Lan kemudiannya masuk ke studio King's sekali lagi bersama Sil Khannaz untuk album kedua mereka Gerbang Kayangan. Kali ini, tempat Joe Slaughter dan Tom Decibel telah dihantikan oleh Dark-E dari Necrotic Chaos/Vociferation Eternity dan Neer Hashirim dari Brain Dead (kumpulan). Album Gerbang Kayangan adalah album yang mencatat sejarah kerana ini adalah album heavy metal pergerakan bawah tanah @ underground yang pertama dirakam di dalam Bahasa Melayu. Album tersebut adalah album Sil Khannaz yang tetinggi jualan iaitu 50,000 unit dan masih terjual.

Setelah beberapa siri gig Sil Khannaz yang sungguh menggalakkan termasuk gig kontroversi di Penang, Lan telah mendapat jawatan pengurus cawangan di sebuah syarikat perkhidmatan kurier di Melaka. Dalam masa yang sama, CD Khanzab telah menarik diri dari Sil Khannaz untuk menumpukan perhatiannya pada kumpulan Metalasia dan projek solonya. Lan telah berulang-alik Melaka-Kuala Lumpur pada hujung minggu untuk berlatih bersama mereka untuk album baru. Lan telah masuk ke studio rakaman King's untuk kali ketiga bersama Sil Khannaz untuk rakaman album mereka yang ketiga bertajuk Bara Pawaka. Album Bara Pawaka mencatat jualan 40,000 unit dan masih terjual. Dari situ, banyak siri jelajah Sil Khannaz yang beliau memberikan khidmatnya.

Pengunduran dari Sil Khannaz

Akibat dari Lan berpindah ke Melaka, banyak projek Sil Khannaz terpaksa dijalankan menggunakan mesin drum @ drum machine atau khidmat Ajiz pemain drum dari kumpulan rock Sky Juice. Album terakhir Lan bersama Sil Khannaz ialah album cover bertajuk Darah Muda dimana rakaman album tersebut telah dilakukan di studio Nebiula Productions di Jalan Loke Yew. Lan hanya memainkan 1 lagu nyanyiannya sendiri yang membawa cover kumpulan Megadeth yang bertajuk Psychotron. Bagaimanapun, atas sebab-sebab komitmen kerja dan jarak logistik, Lan telah mengundurkan diri dari Sil Khannaz secara rasmi pada Februari 2004 dan juga telah berkeputusan untuk bersara dari bermain drum.

Infectious Maggots bersatu untuk hanya satu persembahan

Bagaimanapun, pada bulan Ogos 2004, satu konsert yang bertajuk I Thrash Therefore I Am telah diadakan di Stadium Chinwoo, Kuala Lumpur yang menemukan ramai kumpulan heavy metal awal. Infectious Maggots barisan album pertama telah dijemput untuk beraksi. Lan telah bersetuju untuk beraksi hanya sekali ini bersama Lan Bear, Fathul, P.E. dan Jijoe telah memberikan persembahannya bersatu buat pertama kali selepas 6 tahun tidak bersama. Bagaimanapun, penyatuan ini hanyalah sementara kerana Lan Bear mempunyai masalah kesihatan. Lan kemudiannya telah kembali semula ke persaraan dari bermain drum.

Infectious Maggots di Rock The World 7 2006

Pada bulan Oktober 2006, 2 tahun selepas Lan tidak bermain drum, dia telah mendapat panggilan dari Reza menawarkan kepadanya untuk menjadi pemain drum session dengan Infectious Maggots yang dikatakan menjadi milik Reza dan Rizal di konsert gergasi Rock The World 7 pada Disember 2006. Ini adalah kerana pemain drum Infectious Maggots Reza dan Rizal, Ian Han, telah kemalangan dan patah pergelangan kakinya. Lan bersetuju selepas mendengar Lan Bear turut memberikan khidmatnya. Ini adalah kali pertama beliau bermain drum dengan Lan Bear sejak gig I Thrash Therefore I Am di Stadium Chinwoo 2 tahun sebelum ini. Mereka telah memberikan persembahan mereka di pentas utama.

Sewaktu konsert Rock The World 7 tersebut, Lan telah memberikan sokongan kepada bekas kumpulannya Sil Khannaz yang bermain di pentas sederhana. Lan telah menerima pujian terhadap permainannya bersama Infectious Maggots dan sikap sokongannya terhadap Sil Khannaz. Akur dengan sokongan dan permintaan dari peminat Lan, Lan telah berubah fikiran dan berkeputusan untuk bermain drum semula. Lan kemudiannya telah mengajak Malek dari Brain Dead (kumpulan) yang juga tinggal di Melaka untuk mula berlatih. Mereka berdua telah berlatih hampir setiap hari Sabtu di Studio Audioslave milik Sham Kamikaze iaitu gitaris dari kumpulan hard rock Kamikaze. Mereka kemudiannya merancang untuk menubuhkan sebuah band projek di Melaka.

Sil Khannaz 20th Anniversary

Pada Januari 2007, Jaie Jokkhannaz telah menghubungi Lan dan menawarkannya untuk memberikan khidmat terakhir bersama Sil Khannaz bagi menjayakan ulang tahun ke-20 Sil Khannaz di Planet Hollywood pada 17 April 2007. Lan terus bersetuju dan buat pertama kali selepas 3 tahun berpisah dengan Sil Khannaz, Lan beraksi semula dengan Jaie Jokkhannaz, CD Khanzab, Joe Slaughter, Dark-E dan Neer Hashirim di atas pentas yang sama. Gig tersebut telah dirakam menggunakan audio dan video. Konsert ini telah diterbitkan sebagai 2-CD dan videonya tidak dapat diterbitkan atas masalah hakcipta.

Brain Dead

Pada bulan Oktober 2007, Malek Brain Dead (kumpulan) telah menghubungi Lan untuk khidmatnya bermain bersama mereka di gig yang bertajuk The Resurrection pada 2 Februari 2008. Ini adalah kerana Shahrin, pemain drum Brain Dead (kumpulan) tidak dapat memberi kata putus untuk beraksi pada tarikh tersebut. Lan bersetuju dan telah berlatih bersama Brain Dead (kumpulan). Bagaimanapun, Shahrin muncul di saat akhir dan telah membolehkan 2 pemain drum Brain Dead (kumpulan) untuk beraksi di gig tersebut.

Setelah penilaian, Brain Dead (kumpulan) telah menggunakan lagi khidmat Lan di gig-gig yang seterusnya iaitu di Common Chaos di 1Cafe, Jalan Silang pada 8 November 2008, Tribute To Death di Dewan MCPA, Kuala Lumpur pada 28 Mac 2009, Teroka Minda di Dewan Persatuan Cina, Bukit Mertajam pada 4 April 2009, Metalcamp 2 di Dewan MCPA pada 2 Mei 2009, Breaking The Silence di Dewan Tanjung Aru, Kota Kinabalu pada 30 Januari 2010, MuzikAttack.com Party Jam di 1Cafe, Jalan Tuanku Abdul Rahman pada 3 April 2010, Mayhemic Musica di 1Cafe, Jalan Tuanku Abdul Rahman pada 2 Oktober 2010. Sejak itu, mereka juga telah menggunakan khidmat Lan untuk penulisan lagu-lagu baru untuk album mereka yang akan diterbitkan.

Infectious Maggots barisan album pertama bersatu semula

Pada bulan Disember 2009, Jaie Jokkhannaz dan Ajax telah menawarkan kepada Lan peluang Infectious Maggots barisan album pertama untuk beraksi di Metalcamp 3 pada 2 Mei 2010. Malang sekali, Fathul tidak dapat beraksi kerana beliau berada di Berlin sewaktu itu menjadikan barisan album pertama tidak lengkap. Bagaimanapun, tawaran dari Joe Kidd untuk mereka beraksi di sebuah gig kecil di kelab Clothes & Clef, Bukit Bintang yang bertajuk Rice Above 6 pada 16 Mac 2010 diterima kerana barisan album pertama mereka lengkap. Lan, Lan Bear, Fathul, P.E. dan Jijoe telah memberikan aksi dihadapan kelab tersebut yang penuh sarat dengan peminat yang rindukan Infectious Maggots barisan album pertama.

Pada bulan Oktober 2010, Jaie Jokhannaz telah sekali lagi mempelawa Lan peluang Infectious Maggots barisan album pertama untuk beraksi di 1Cafe, Kuala Lumpur yang bertajuk Total War pada 10 Oktober 2010. Peminat yang rindukan kemunculan bersama Lan, Fathul, Lan Bear, P.E. dan Jijoe hampir memenuhi dewan dan telah memberikan sokongan yang sungguh memberangsangkan. Mereka kemudiannya mengadakan persembahan di sebuah gig amal di tempat yang sama bertajuk Fallen Heroes pada 11 Disember 2010.

Jemputan dari Heloisa

Pada bulan November 2010, Lan telah dipelawa oleh Ein untuk beraksi bersama band projeknya, Heloisa, di One Cafe, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur pada 8 Januari 2011.

Berkaitan